Salam dan hai
Merancang
sendiri majlis perkahwinan kita memang menyeronokkan, penat, teruja,
stres, dan kadang-kadang mengecewakan. Tapi tak apa, pengalaman sekali
seumur hidup (atau mungkin berkali-kali kalau kamu merancang pula majlis
adik-beradik atau kawan-kawan).
Kali ini saya nak kongsi
beberapa perkara yang saya kutip daripada pengalaman tempoh hari, saya
kira mungkin dapat membantu bakal pengantin yang rata-ratanya sekarang,
memilih dan mencari vendor masing-masing.
Untuk majlis kami, kami
sendiri memilih vendor-vendor kami, kecuali untuk katerer. Yang lain,
semua kami berdua usahakan, dengan bantuan maklumat daripada kawan-kawan
rapat.
Ini la senarai 20 perkara yang mesti kamu perlu katakan tidak kepada diri sendiri apabila melibatkan berurusan dengan vendor.
Kamu tidak
1) TIDAK .. akan menempah dewan/ masjid/ hotel tanpa melihatnya dengan mata kepala kamu sendiri.
Kamu boleh merujuk pada gambar-gambar di lokasi yang sama, tapi apa pun
cuba usahakan untuk ke tempat itu sendiri. Kadang-kadang, sudut dalam
gambar, menjadikan lokasi itu kelihatan cantik. Tak kira lagi editing
yang dibuat oleh OP dan pencahayaan. Ambil kira sekali jika berlaku
sebarang renovasi pada lokasi. Jadi elok kamu ke tempat itu sendiri dan
dapatkan tanggapan pertama kamu.
2) TIDAK .. akan bekerjasama dengan sesiapa tanpa perincian yang jelas,
walaupun vendor tu kawan-kawan atau saudara mara. Jika kawan nak
sponsor sesuatu, pastikan kamu dan dia jelas tentang apa yang
dirancangkan. Pastikan ada hitam putih pada setiap perjanjian. Kalau ada
perubahan, pastikan kamu bersetuju. Setiap kos tersembunyi kamu perlu
tahu.
3) TIDAK .. akan merancang atau bertanya kepada vendor tanpa mengetahui baget sebenar kamu.
Tanpa tahu sempadan baget kamu, kamu bukan sahaja membuang masa kamu
dan vendor tu, tapi juga kelak akan mengewakan diri kamu sendiri.
Mengetahui harga caj vendor tu, satu perkara lain. Perkara paling
utama--mengetahui baget kamu sendiri.
4) TIDAK .. akan melupakan temu janji dengan vendor
kamu. Walaupun dia ada kecenderungan untuk terlupa, tapi kamu tidak
akan tertinggal hari untuk fitting, hari untuk ukur dewan, hari untuk
bayar deposit dan sebagainya. Kamu juga tidak akan segan silu, untuk sms
dan ingatkan temujanji kamu dengan dia. Jika ada perubahan hari,
maklumkan pada vendor. Jangan amik langkah berdiam diri.
5) TIDAK .. akan takut berbincang, memberi pendapat dan bertelagah (jika perlu) dengan vendor kamu.
Contoh, jika OP janjikan outdoor percuma selepas majlis, tanyakan dia
apa akan jadi pada shoot tu jika petang majlis kamu nanti hujan? Adalah
lebih baik kamu tahu awal dan sempat nak buat sebarang perubahan
daripada menyesali tidak bertanya lebih lanjut.
6) TIDAK .. akan percaya bulat-bulat
apa yang kamu nampak di butik atau di pameran pengantin, komen daripada
bekas-bekas pelanggan atau apa yang kamu lihat di media televisyen.
Mungkin itu rezeki mereka, kamu punya belum tentu. Jadi jangan lepas
tangan sebelum tiba masanya.
7) TIDAK.. akan memaksa diri kamu
memilih rekaan baju semata-mata ianya cantik dalam gambar (..belum
tentu ianya cantik pada badan kamu) dan menghantarnya ke kedai yang
tukang jahitnya belum pasti dalam merealisasikan rekaan yang kamu
mahukan. Setiap tukang jahit mempunyai skill dan pengalaman berbeza.
Maka, fikirlah dan buat pilihan terbaik.
8) TIDAK.. akan pilih vendor
yang tiada skil komunikasi, yang buat kamu rasa rendah diri dan
tertekan, tidak boleh dibawa berbincang, tidak menepati janji dan tidak
menghormati kamu sebagai pelanggannya.
9) TIDAK.. akan menghebah-hebahkan siapa vendor
kamu sebelum kamu lihat hasilnya. Pengiklanan percuma mungkin akan
memudaratkan orang lain yang mungkin terpengaruh dengan perasaan teruja
kamu. Hanya kongsi siapa vendor kamu selepas majlis. Ketika ini, kamu
dapat mengulas khidmat mereka dari kaca mata profesionalisme. Ingat,
dalam majlis perkahwinan, vendor sama sekali tidak patut menenggelamkan
kamu. Jangan sampai orang lebih teruja nak tengok hasil vendor,
berbanding mahu melihat kamu.
10) TIDAK.. akan berkira-kira dalam perihal OP.
Bayaran mahal bukanlah penentu, tapi memadai jika OP tu mempunyai
skill, bakat, komunikasi dan ketekunan untuk menghasilkan gambar yang
kamu idamkan. Cantik itu subjektif, jadi usah gusar apa pandangan orang,
asalkan kamu lihat gambar tu, kamu senyum sampai ke telinga.
11) TIDAK .. akan pilih katerer tanpa merasa masakan mereka.
Food testing mungkin boleh, tapi kamu kena ingat, ada kalanya, masakan
yang dimasak dalam kuantiti yang sedikit, sedap. Tetapi apabila dimasak
dalam kuantiti yang banyak, rasanya berubah. Jadi, kalau kamu
berkesempatan pergi ke majlis yang menggunakan katerer yang sama, cuba
rasa setiap juadah yang diberi. Ingat juga, semuanya tertakluk pada
rezeki masing-masing. Walaupun katerer yang sama, boleh jadi pada hari
majlis, rasanya berbeza.
12) TIDAK .. akan menempah bunga tanpa tahu gubahan dan konsep yang kamu mahukan.
Kamu juga tidak segan jika kamu perlu datang ke kedai bunga dengan
contoh gambar di tangan atau keratan suat khabar untuk cari ukuran span
H20 yang betul. Walaupun pekerja kedai tu pasti akan membantu kamu, tapi
kamu perlu tetapkan apa yang kamu mahukan.
13) TIDAK.. akan melayan vendor kamu seperti kuli atau tempat kamu melepas marah atau stress. Ingat, keep your enemy close, keep your vendor even closer.
14) TIDAK.. akan membalas SMS vendor dalam keadaan hati yang panas. Kesudahannya, akan ada pelbagai rentetan SMS demi SMS.
15) TIDAK.. akan menahan bayaran
yang diminta vendor dengan niat memastikan mereka akan muncul dan
menjalankan kerja mereka. Jika kamu pilih mereka daripada awal, atas
kepercayaan kepada reputasi mereka, jadi tiada apa perlu dirisaukan.
Tapi ingat, bertindak la kamu mengikut keperluan situasi.
16) TIDAK.. akan berjumpa dengan vendor tanpa ditemani.
Pergi solo boleh menyebabkan kamu akan mengikut telunjuk vendor atau
tenggelam dalam pilihan yang ada. Jadi kamu perlukan sahabat yang berani
mempertahankan kamu, atau ibu ayah yang mahukan terbaik untuk kamu atau
si dia yang akan memastikan kamu berbelanja mengikut baget.
17) TIDAK.. akan memberi kata putus secepat mungkin.
Setiap keputusan, kamu perlu ambil masa untuk berfikir dan berbincang.
Keputusan membabi buta akan merugikan kamu kelak. Oleh itu, jika ada
idea baru, minta setengah hari atau 1 hari untuk kamu berfikir dan
berbincang dengan mereka yang terlibat, kemudian hubungi semula vendor
untuk bagi kata muktamad
18) TIDAK.. akan bertangguh
memaklumkan kepada vendor untuk sebarang perubahan. Dalam merancang
majlis perkahwinan, setiap saat bernilai! Jangan kelak, kamu sesali
sikap "Tak apa" kamu kemudian hari!
19) TIDAK.. gusar jika pilihan kamu tidak dapat menggembirakan semua pihak.
Setiap majlis perkahwinan adalah gabungan pelbagai idea daripada
pelbagai pihak. Tugas kamu, memastikan semuanya dapat diterapkan tanpa
mengekecilkan mana-mana pihak atau menyebabkan kamu makan hati. Setiap
orang mempunyai citarasa berbeza dan adalah mustahil untuk kamu memenuhi
semua citarasa tu.
20) TIDAK.. akan membanding-bandingkan vendor A dengan vendor B.
Semata-mata kamu tidak dapat perkhidmatan si vendor A, tak bermakna
vendor B tidak dapat menjalankan tanggungjawab yang kamu amanahkan.
Sesungguhnya, ada masanya, pilihan kedua itu lebih baik daripada yang
pertama. Ingat, rezeki bukan kita yang tentukan.
Rabu, 2 Mei 2012
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan