♥ Our Special Moments ♥

Daisypath Anniversary tickers
Daisypath Anniversary tickers
Lilypie First Birthday tickers
Daisypath Anniversary tickers

Selasa, 13 Disember 2011

Tips Untuk Majlis Serentak

Salam

Jadi, yang boleh saya kongsikan tips tentang majlis serentak ini:-

1. Tetapkan jumlah tetamu. Kalau boleh biar seimbang kedua-dua belah pihak. Jika belah satu lagi mahu jemput kurang, bincangkan kos bagaimana perlu ditanggung. Sama ada tetap sama rata atau cuma untuk jumlah yang dijemput. Jumlah tetamu akan memberi kesan kepada lokasi majlis dan buah tangan.

2. Keputusan bersama. Kalau perlu pergi jumpa vendor, pastikan kedua-dua belah pihak ada bersama. Jika ibu/ayah satu pihak tidak dapat hadir, harus ada wakil keluarga yang ada berbincang. Wakil itu perlu sampaikan maklumat setepat mungkin. Semua harga juga perlu dipersetujui.

3. Sentiasa maklumkan untuk sebarang perubahan. Kalau satu pihak mahukan sesuatu yang bukan atas perbincangan bersama, pastikan pihak lagi satu dimaklumkan dan mereka bersetuju.


4. Kedua-dua pihak harus duduk bersama dan bincangkan baget masing-masing. Kalau melebihi had, jangan paksa satu pihak untuk meneruskannya. Setiap orang ada kemampuan masing-masing. Jika satu pihak berselera besar, pastikan lebihan baki bayaran tu, dibayar oleh pihak yang berselera besar tu.

5. Jangan terlalu berkira. Walaupun ini majlis serentak dan kos dibahagi sama rata, tapi ada masanya, tak perlu setiap satu sen yang keluar perlu dikira dan ditimbang. Kalau satu pihak mahu sediakan bunga pahar, satu pihak lagi sediakan buah tangan untuk tetamu cilik. Ini majlis bersama dan anggapalah bakal mentua kita itu sudah jadi macam ahli keluarga sendiri. Mana yang kurang dan lebih, halalkan sahaja.

6. Pengantin sila sedarkan diri yang jika ini majlis bersama, jadi tak semua yang kamu impikan akan terlaksana. Jika ibu pasangan kamu mahu pilih bunga pahar sendiri, yang mungkin bukan dalam piawaian kamu, maka sila cekalkan hati dan berfikiran positif. Fikir logik, kamu nak bunga pahar tu untuk puaskan hati kamu dan adakah berbaloi untuk bergaduh bermasam muka, semata-mata kerana bunga pahar yang mungkin 100% tetamu yang datang langsung tak sedar dan tak ingat bentuk bunga pahar tu tak sepadan dengan keseluruhan tema majlis? Berhenti daripada meneropong kuman dilautan.

7. Ingat ya, kamu hanya ada SATU peluang untuk menjayakan majlis. Jadi pilih mereka yang terbaik! -- jurumekap profesional, kad jemputan tercantik, OP berkaliber, vendor pelamin terbaik yang akan membantu kamu merealisasikan impian kamu. Pastikan vendor yang dipilih, masih dalam baget kamu berdua. Tetapkan, siapa selera besar, lebihan baget tu, orang tu yang perlu bayar :P

8. Warna tema merupakan isu paling penting. Kalau kamu buat majlis asing-asing, mungkin pasangan kamu tidak boleh cakap banyak kalau kamu mahukan pink sebagai warna tema majlis. Tapi jika ini majlis serentak, dia juga punyai hak untuk bersuara dan memilih. Jadi, pilihla warna tema yang kamu berdua persetujui. Bagi saya, ada beberapa kriteria bagaimana nak bincang dengan pasangan tentang warna tema:

a. Pilih warna kegemaran kamu atau pasangan - mungkin satu pihak kena mengalah atau mungkin kamu berdua berkongsi warna kegemaran yang sama.
b. Pilih warna yang cantik dalam gambar - Kamu buat pilihan ini dan kamu takkan silap. Pilih warna yang akan naik dalam gambar seperti merah dan ungu, memang pilihan yang bijak.

9. Tetapkan siapa penanggah. Perlu diingat, pada hari majlis, memang kamu takkan dapat kawal keadaan. Akan pastinya ada wujud orang yang perasan dia ketua penanggah dan orang lain tak boleh buat kerja sebaik dia atau individu yang akan menggangu kerja penanggah lain. Kertas kerja yang kamu sediakan mungkin membantu tapi ingat, kamu tak boleh kawal semua orang. Jadi yang kamu boleh buat, minimumkan gangguan yang diwujudkan oleh penanggah ini. Pastikan juga, kamu maklumkan kepada belah sana berapa ramai penanggah yang diperlukan untuk setiap kerja dan aktiviti majlis. Siapa yang dipilih, terpulang pada mereka. tapi pastikan, kamu turut memilih penanggah daripada belah kamu, mana tahu penanggah belah dia hilang entah ke mana pada hari majlis. Sekurangnya kamu masih ada orang yang boleh membantu, kan? Jangan lupa, serahkan kertas kerja kepada belah sana supaya mereka boleh baca dan tambahkan apa-apa yang mungkin kamu terlepas pandang.

10. Tiada dominasi. Majlis serentak bermakna kedua-dua famili saling berkongsi. Kedua ibu ayah kita tuan majlis. Jadi tiada yang perlu didahulukan daripada yang lain. Cuma ada beberapa perkara, yang bagi saya perlu ditekankan disini. Memandangkan pada hari majlis nanti, kamu (wahai bride to be) adalah isteri, jadi isteri sentiasa bersama suami dan suami harus didahulukan. Maka, bagi pendapat saya, untuk kad jemputan atau bunting contohnya, nama suami kamu harus dahulu sebelum kamu. Jika ada upacara merenjis, dahulukan keluarga lelaki. Namun jika perbincangan, keluarga lelaki tak kisah, maka terpulang untuk dahulukan siapa.

Antara soalan lain yang diemel pada saya, tentang meja rombongan. Bagi saya, meja rombongan tidak perlu untuk majlis serentak, kecuali kamu ada menjemput VIP atau ketua jabatan, atau ada ahli keluarga yang kurang berupaya atau uzur, dan kamu mahu sediakan ruang khas untuk mereka, jadi tak apa. Untuk majlis kami, kami memang tak sediakan sebarang meja rombongan kerana bagi kami, empat buah meja yang mungkin dikhaskan untuk rombongan, baik kami gunakan untuk tetamu. Ini majlis serentak jadi jumlah tetamu yang datang, kita tak boleh jangka jumlahnya. Jadi, selagi ada ruang boleh diisi, kami gunakan.

Fiuh. Saya rasa cukup setakat ini dahulu tips hari ini.

Ingat ya pengantin, yang penting jemput. Mereka datang atau tidak, tu tak apa. Percaya la, kamu mungkin akan terperanjat, mereka yang kamu tak sangka sanggup datang walaupun jauh, hadir di majlis kamu.

Tiada ulasan: