Isnin, 30 April 2012
Tu Bukan Menyibuk Lagi,Tapi dah Kira Biadap
Salam
Saya faham perasaan dia kerana saya pun sudah terkena, dengan orang yang sama juga. Biadap perbuatan dia yang tidak semena-mena tanpa segan silu memegang perut saya tanpa sebab-musabab, jauh lagi dengan izin.
Tujuan saya menulis topik ini, supaya kita semua, baik mantan pengantin, bakal pengantin, bakal-bakal ibu, atau ibu-ibu mahupun makcik-makcik diluar sana, supaya tolong faham tentang hati seorang perempuan yang masih menunggu rezeki Allah.
Rezeki yang saya maksudkan adalah rezeki dikurniakan anak.
Macam yang saya pernah sentuh isu ini dalam post terdahulu, saya mahu bakal-bakal pengantin bersedia dengan soalan-soalan yang sensitif ini kerana pasti wujudnya golongan yang tidak sensitif kepada perasaan dan air muka kita.
Kadang-kadang saya kasihan dengan golongan sebegini. Golongan yang tidak tahu atau mungkin tidak pernah amik peka kesan soalan yang terpacul daripada mulut mereka, mungkin bakal mengguris perasaan orang yang ditanya. Betapa mereka dengan objektif mereka nak tahu. Atau mungkin dalam hujah mempertahankan diri mereka, mereka tak sangka yang soalan itu bikin gusar dihati penerimanya.
Saya nak ulas beberapa perkara disini.
Pertama: Sebenarnya, bukan soalan itu yang menyakitkan hati. Tapi bagaimana soalan itu diajukan yang mengubah momentum penerimaan.
Mungkin kalau kita dengar orang bertanya
"Dah ada isi ke belum?"lebih sedap dihalwa telinga kita berbanding
"Tunggu bila lagi ni? muda2 lagi xyah la tunggu2"
kan?
Bertanya tak ada siapa melarang, tapi fikir semula olahan soalan tu. Fikir, cukup ikhas ke kita bertanya atau sekadar nak menguji, menyibuk atau menyakitkan hati pihak lain? Cukup pengalaman kah kita dengan anak kita yang berderet sedangkan kita lupa itu semua hanyalah amanah Allah kepada kita yang boleh Dia tarik bila-bila masa sahaja?
Kedua: Kadang-kadang, bukan bagaimana soalan itu diajukan sahaja menjadi isu, intonasi suara pihak yang bertanya turut memainkan peranan.
Kalau diaju
"Ko dah ada isi ye?"
lebih lembut bunyinya berbanding
"Eh, ko dah berisi ke?!" siap dengan ton suara terkejut, mata terbeliak.
Bagai merupakan satu kesalahan untuk mengandung sedangkan prosesnya halal bersama suami yang sah. Menyebabkan si mantan pengantin terpinga-pinga "Aku ngandung pun salah ke?"
Jadi kepada mereka yang sering bertanyakan soalan sebegini kepada orang lain, baik teman rapat, teman sepejabat atau sesiapa sahaja, fikirkan semula kesan soalan kita kepada penerima tu. Kalau kita layak berkongsi khabar berita gembira, biar ianya datang secara semulajadi. Biar secara lisan daripada mulut pihak tersebut atau secara hukum alam--bila kita nampak perutnya semakin membesar. Tak usah nak menggali membabi buta. Tak usah nak menyendeng bertanya itu dan ini kalau kita bukan orang yang layak untuk dikongsi.
Usah mendabik dada, "aku kan dah ada anak, apa salahnya aku tanya dia kot-kot boleh kasi tips ke apa". Pernah kah terfikir, apa pula perasaannya kalau anak tersebut diambil tuhan dan kelak ada mulut lancang bertanya "Ko ni, anak sorang pun tak reti jaga ke?"
Jangan pula masa itu baru pandai nak bermain kata "Rezeki Allah punya" sedangkan dari awalnya, diri sendiri pun tahu anak itu rezeki daripada Allah dan mempersoalkan cepat atau lewatnya kehadiran anak itu, bagai mempersoalkan rezeki Allah.
Bagai secara langsung berkata "Apasal Allah tak kasi-kasi ko anak lagi ni?"
Kenyataannya, semua yang kita ada di dunia ini, baik suami, anak-anak, keluarga, harta, pangkat dan segalanya, pinjaman daripada Allah.
Tak tahu malukah kita nak berbangga dengan harta pinjaman sedangkan Allah sentiasa mengingati kita agar sentiasa merendah diri dan jangan bongkak.
Ketiga: Kalau yang dilafaz sudah mengguris hati, usah tambah dengan perbuatan.
Tindakan bertanya merambang sudah dikategorikan menyibuk, tapi tindakan pegang perut orang yang ditanya itu-- itu sudah jatuh jadi biadap.
Pelaku sebegini, mahu sahaja kalau saya ditempat kejadian, saya terus pegang bahagian dada dia dan kata "cup berapa ni?" Tak suka kan? Tahu pun tak suka orang sebarangan pegang bahagian dada ko atau bahagian sulit ko kan??
Kena faham, tak semua perempuan mengandung atau belum mengandung suka dipegang atau diusap perutnya. Setiap individu adalah berbeza. Ada yang suka kandungannya diusap-usap, ada juga yang kurang gemar perlakuan sebegitu.
Paling tidak kalau hati meronta mahu sangat pegang, minta izin. Tak susah kan? Hormat zon selesa individu. Kalau diri kita bagai datang tak berjemput, pulang tak berhantar, usah bertindak melampaui batas susila.
Saya berharap, pada semua mantan pengantin yang sudah berbadan dua atau yang menuju ke arah itu, supaya cekal-cekal hati dengan dugaan daripada golongan-golongan ini. Saya tahu saya takkan dapat mengubah orang kerana kita semua daripada latar belakang berbeza, jarak usia yang berbeza, cuma saya berharap penulisan saya kali ini, paling tidak memberi satu ruang untuk kita berfikir, betul atau salah tindakan kita selama ini.
Tolong jangan jadikan kehidupan selepas berkahwin mantan pengantin bagaikan mimpi ngeri. Biarkan dia bahagia merencana hidup bersama suaminya.
p.s Post ini tidak bergambar kerana tiada gambar dapat mewakili betapa sungguh menjengkelkan saya rasa terhadap individu yang memegang perut kawan saya tanpa sebab tu.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan